To view this notification widget you need to have JavaScript enabled. This notification widget was easily created with NotifySnack.
Guru Bertugas Minggu 05/2019 EN NORHANIZAN BIN MOHD NOH, PN FAZLIYATI BINTI ISHAK & PN NOR AZIZAN BINTI HJ AWI

LAWATAN SAMBIL BELAJAR TAHUN 6

HARI PERTAMA – 7 OKTOBER 2016

Seawal jam 4.00 pagi lagi, peserta lawatan telah tiba untuk mendaftarkan diri. Proses pendaftaran diadakan di balai bacaan yang telah dikelolakan oleh Ustz. Najmiah binti A Ghani. Murid-murid lengkap dengan berpakaian uniform sekolah seperti yang telah ditaklimatkan minggu lepas.



Alhamdulillah, pada pukul 4.15 pagi bas yang akan membawa kami telah tiba seperti yang dijanjikan. Ibu bapa turut berada di luar pintu pagar sekolah untuk melihat perjalanan para peserta sebelum bergerak ke Kuala Lumpur. Beg-beg yang besar diletakkan dalam perut bas manakala beg kecil dibawa masuk ke dalam bas. Tepat jam 4.35 pagi kami telah bertolak dengan selamat menuju destinasi yang pertama iaitu Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka.



Perjalanan kami diringi dengan hujan renyai-renyai pada mulanya. Namun, setibanya di Plaza Tol Tangkak hujan mula dengan lebat membasahi sekitar negeri Melaka. Kami berhenti rehat selama 1 jam di Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka untuk menunaikan solat Subuh serta minum pagi bagi mengalas perut. Murid-murid tahun 6 membawa bekalan sendiri dari rumah untuk bersarapan pagi. Ada juga murid-murid yang membeli makanan untuk dijadikan bekalan makan tengahari nanti. Pada pukul 7.30 pagi, kami meneruskan perjalanan ke Zoo Negara.


Perjalanan dari Ayer Keroh ke Seremban pada mulanya lancar, namun setelah melepasi Plaza Tol Sungai Besi keadaan jalan raya begitu sesak. Keadaan ini berlaku mungkin kerana hujan yang turun menyebabkan pemandu mengurangkan had laju demi keselamatan. Akhirnya, pada pukul 10.00 pagi kami telah selamat tiba di Zoo Negara setelah berjaya mengharungi jalan raya yang amat sesak sekali.


Sejurus selepas itu, Cikgu Sharil pergi ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk ke dalam zoo. Harga tiket untuk seorang pelajar sekolah berharga RM 10.00 manakala RM15.00 untuk guru-guru. Bagi mendapatkan harga seperti di atas, murid-murid perlu berpakaian uniform sekolah atau baju yang seragam serta membawa surat rasmi dari sekolah anda. Pengunjung akan diberikan tag untuk dipakai dipergelangan tangan sepanjang berada di dalam zoo.


Murid-murid amat seronok apabila melihat pelbagai haiwan yang terdapat di Zoo Negara. Pengalaman ini begitu berharga terutamanya murid-murid yang kali pertama menjejakkan kami mereka di zoo. Kehangatan suasana serta kegembiraan murid-murid ditambah lagi dengan adanya panda. Murid-murid begitu teruja untuk pergi melihat haiwan tersebut yang dijaga dengan begitu istimewa sekali.

Sebelum menyaksikan haiwan tersebut, para peserta lawatan diberi taklimat ringkas oleh pegawai haiwan yang bertugas di sana. Peserta sangat teruja apabila dapat mengambil gambar panda berkenaan. Ada di antara murid-murid sempat membeli cenderamata yang dijual di kedai bersebelahan dengan rumah panda. Kami selesai membuat lawatan di Zoo Negara pada jam 12.00 tengah hari.

Selepas itu, kami menaiki bas untuk menuju ke Shah Alam. Guru-guru singgah sebentar di kedai untuk membungkus makanan tengah hari. Tiba di Masjid Shah Alam, peserta lawatan melaksanakan Jamak Taqdim Solat Zuhur dan Asar secara berjemaah. Selepas solat, kami bergerak menuju ke Wet World Shah Alam yang hanya mengambil masa kira-kira 5 minit sahaja dari masjid.

Tiba di masjid, murid-murid turun dari bas dan mengambil pakaian untuk mandi. Cikgu Sharil ke kaunter tiket untuk mengambil tiket masuk. Tiket masuk ke taman tema air ini sudah ditempah 2 hari sebelum lawatan diadakan supaya anda diberikan potongan harga bagi murid-murid sekolah rendah. Jangan lupa juga, bawa satu surat rasmi dari sekolah.



Alhamdulillah, pada kali ini peserta lawatan turut diberikan Nasi Goreng Cina berserta air oren secara percuma. Kami turut menyewa 5 buah pelampung untuk digunakan semasa mandi. Sebelum murid turun dalam air, Cikgu Badrol Hissam telah memberikan taklimat keselamatan kepada semua murid yang perlu mereka patuhi.


Murid-murid sungguh seronok hingga tidak mahu keluar dari kolam. Guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk berseronok bersama murid. Selesai mandi dan menukar baju, murid makan makanan yang diberi. Murid-murid seakan-akan kelaparan kerana banyak tenaga yang telah digunakan semasa mandi tadi.



Kami naik ke dalam bas semula untuk meneruskan perjalanan mencari tempat menginap pada malam ini. Homestay yang di tempah terletak di Kg. Dato Abu Bakar Baginda Bangi, Selangor. Kampung ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Putrajaya Presint 14. Kami telah menempah 2 buah unit rumah. Setiap rumah mempunyai 4 bilik tidur dan mempunyai kelengkapan rumah yang lengkap seperti mesin basuh, penyaman udara, televisyen, Wifi TM serta kelengkapan dapur untuk memasak.




Pada waktu malam, murid-murid dijamu dengan 400 cucuk sate yang dibeli di kedai yang berhampiran dengan rumah menginap. Sate yang dibeli agak besar sesuai dengan harganya RM0.80 secucuk. Tiada aktiviti pada waktu malam kerana murid-murid kelihatan setelah kepenatan  bermain air. Murid-murid lelaki berada di hadapan televisyen untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Singapura. Murid-murid perempuan pula ramai yang telah tidur awal kerana kepenatan di siang hari




HARI KEDUA – 8 OKTOBER 2016

Jam 4.00 pagi lagi peserta telah bangun untuk mandi dan mengemaskan pakaian. Pada hari ini murid-murid telah memakai baju Oren Redong yang telah ditempah khas sempena lawatan pada kali ini. Usai, menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Cikgu Sharil dan Cikgu Syafiq telah pergi ke kedai mencari nasi lemak daun pisang untuk sarapan pagi. Kedai tersebut berdekatan sahaja dengan rumah penginapan kami kira-kira 1 kilometer sahaja.



Kami bersarapan di rumah penginapan tersebut sahaja untuk menjimatkan masa. Tambahan pula, Cikgu Siti Norlaila telah menyumbang belakan susu pekat manis, Nescafe dan Milo. Sarapan yang tidak habis dibungkus dan dibawa ke dalam bas sebagai bekal untuk murid-murid jika berasa lapar selepas penat berjalan nanti.



            Sebelum meninggalkan rumah penginapan ini, kami telah mengemas semula susun atur perabot supaya berada dalam keadaan sedia kala. Kami juga memastikan agar tiada pakaian atau peralatan peserta yang tertinggal di dalam rumah tersebut. Kunci rumah telah ditinggalkan di dalam peti surat seperti yang telah diberitahu oleh pemilik rumah.




Sebelum memulakan perjalanan ke Petrosains KLCC, peserta lawatan melakukan aktiviti regangan untuk menyahut program Negara iaitu Hari Sukan Negara. Tepat jam 8.00 pagi kami bergerak menuju ke KLCC baju Oren seakan-akan membawa identiti FELDA. Setibanya di sana, kami sempat mengambil gambar untuk kenang-kenangan di hadapan menara berkembar yang diiktiraf tertinggi di dunia.

Untuk membuat lawatan ke Petrosains, kita perlu menempah terlebih awal agar memudahkan pihak pengurusan Petrosains menyusun jadual lawatan. Kami telah masuk ke tempat pameran pada jam 9.30 pagi dengan menaiki gondola masa. Di dalam petrosains, banyak permainan dan aktiviti sains dan teknologi yang merangsang dan menguji ketajaman minda para pelajar.
  
Untuk menghabiskan lawatan di Petrosains memerlukan kira-kira 2 jam. Kami berjaya menamatkan lawatan ke semua tempat pameran yang disediakan. Setelah keluar dari sana, kami bergerak menuju ke Food Court Arena yang berada di tingkat yang sama. Pada kali ini murid-murid diberi kebebasan untuk memilih dan membeli makanan yang mereka ingin cuba.

Sejurus selepas itu, kami bergerak ke Pejabat Hutan Simpan Bukit Nanas juga dikenali sebagai Taman Eko Rimba KL, untuk meneruskan lawatan. Hutan ini merupakan satu-satunya hutan di dunia yang terletak di pusat Bandaraya. Hutan ini mula diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dalam tahun 1906 dengan keluasan lebih kurang 17.50 hektar dan kini tinggal lebih kurang 9.3 hektar sahaja. Mula-mula kami semua telah mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran untuk memaklumkan tujuan lawatan kami.



Lawatan dimulakan dengan tayangan video berkenaan Hutan Simpan Bukit Nanas. Perjalanan kami selepas itu dimulakan dengan menaiki menara titian gantung. Titian gantung ini telah siap dibina pada tahun 2015. Terdapat 4 buah menara yang mempunyai pelbagai aras ketinggian merentasi hutan ini. Dikhabarkan bahawa pelancong luar negara sentiasa menghubungi Pusat Maklumat Pejabat Hutan Simpan Bukit Nanas untuk mendapatkan maklumat tentang jenis burung yang berhijrah yang singgah di hutan ini untuk menjalankan kajian.





Pegawai perhutanan turut memberi penerangan serba sedikit beberapa buah pokok herba dan pokok jenis keras yang berusia lebih 100 tahun serta kegunaannya. Antara pokok yang terdapat di dalam hutan ini ialah spesis meranti tembaga, Meranti Pa`ang, Meranti Kepong, Meranti Batu dan Meranti Bulu Kapur serta Jelutong, Pulai, Kedondong dan Karas. Kami juga sempat pergi ke kawasan tapak perkhemahan.





Tapak perkhemahan ini disediakan secara percuma kepada sekolah atau mana-mana institusi. Tapak perkhemahan tersebut boleh menampung peserta seramai 50 orang sahaja. Lawatan berakhir di pintu masuk ke Menara Kuala Lumpur. Untuk maklumat tambahan pengunjung boleh membuat lawatan setiap hari bermula dari pukul 7.00 pagi sehinga 7.00 petang.

Sebelum berpisah, pihak kami telah menyampaikan sedikit cenderamata serta sijil terima kasih kepada Pejabat Hutan Bukit Nanas atas kesudian menerima kunjungan dari SK (FELDA) Redong.



Lawatan yang terakhir ialah Masjid Putrajaya yang tersergam indah. Di Masjid ini kami singgah untuk menunaikan Solat Asar dan Solat Zuhur secara JamakTak`hir. Masjid Putrajaya sememangnya popular dilawati oleh pelancong asing terutamanya dari Negara China dan Timur Tengah. Pada pukul 4.00 petang, kami menuju ke pulang dalam keadaan trafik lebuh raya yang agak perlahan. Hal yang demikian berlaku adalah disebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di kawasan Pedas Negeri Sembilan. Trafik yang bergerak perlahan menyebabkan kami lewat untuk tiba ke sekolah semula. Akhirnya, pada pukul 10.00 malam bas kami telah sampai ke sekolah. Ramai ibu bapa murid-murid telah hadir untuk mengambil anak-anak mereka. 

Syukur, Alhamdulillah perjalanan kami selama 2 hari 1 malam berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Insya`Allah jika ada kesempatan lawatan ini akan diteruskan untuk murid-murid tahun 6 pada tahun hadapan. Amin

No comments:

 photo comment6copycopy.png