To view this notification widget you need to have JavaScript enabled. This notification widget was easily created with NotifySnack.
Guru Bertugas Minggu 05/2019 EN NORHANIZAN BIN MOHD NOH, PN FAZLIYATI BINTI ISHAK & PN NOR AZIZAN BINTI HJ AWI

HARI APRESIASI 2016

Pada hari Selasa, 22 November 2016 bersamaan 22 Safar 1438 Hijrah yang lalu, Sekolah Kebangsaan (FELDA) Redong telah mengadakan Hari Apresiasi di Dewan Sri Permata sekolah. Majlis yang merupakan salah satu aktiviti tahunan sekolah ini telah bermula seawal jam 9.00 pagi, dan telah dimeriahkan dengan kehadiran murid-murid dan para ibu bapa yang turut teruja menunggu majlis bermula.










                Objektif utama majlis ini diadakan adalah untuk sebagai satu bentuk motivasi kepada pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik dan Ko kurikulum disamping membina motivasi diri dan cinta kepada budaya membaca melalui anugerah NILAM yang telah diberikan kepada para pelajar yang layak.

                Tepat jam 9:00 pagi, kedengaran alunan muzik gamelan dimainkan mengiringi perarakan masuk tetamu kehormat, Puan Salihah Bt Md Akhir, Ketua Unit Pembangunan Komuniti FELDA Wilayah, wakil rasmi kepada Pengurus Besar FELDA Wilayah Segamat, Encik Razuwan bin Che Ros. Beliau diiringi oleh Tuan Pengurus Felda Redong, Encik Rosli bin Ab Majid dan Yang Dipertua PIBG, Encik Mohd Jeffri Bin Tusiman serta Guru Besar SK (Felda) Redong, Ustaz Amran Bin Ab Shukor.

                Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Amaluddin Mohd Jelani dan ucapan oleh guru besar diikuti oleh ucapan Yang Di Pertua PIBG Sekolah Kebangsaan (FELDA) Redong. Pada kira-kira pukul 10:30 pagi, ucaptama dan gimik perasmian telah disempurnakan oleh Puan Salihah Bt Md Akhir. Dalam ucapannya, antara lain beliau telah memuji usaha guru-guru dan ibu bapa serta komuniti dalam meletakkan kejayaan anak-anak seiring dengan pencapaian rohani mereka. Selain itu juga, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap masa depan dan akhlak anak-anak.


                Hari gilang-gemilang bagi semua murid cemerlang sekolah ini telah diserikan dengan pelbagai persembahan untuk para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan tarian Hindustan oleh murid prasekolah, lagu Patriotik Malaysia Baru, tarian zapin dan senam tari serta alunan nasyid dalam Bahasa Inggeris oleh murid-murid Tahun 6.




                Acara kemuncak majlis ini ialah upacara penyampaian hadiah kepada dua orang yang berjaya meraih gelaran Tokoh Akademik dan Tokoh Ko-Akademik bagi tahun 2016 kerana kejayaan mereka di dalam peperiksaan UPSR pada tahun ini dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti luar bilik darjah  sepanjang tahun 2016 ini. Kedua-dua menerima sekeping sijil penghargaan dan piala setiap seorang. Selain itu, murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun dan murid-murid yang aktif dan cemerlang dalam bidang kokurikulum turut menerima hadiah. Tidak ketinggalan juga sijil anugerah Emas, Perak dan Gangsa bagi pencapaian NILAM telah diberikan kepada murid-murid yang layak disamping sijil kehadiran penuh dan sijil khatam Al-Quran.






                Pada keseluruhannya, majlis ini telah berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu kehormat, AJK PIBG dan guru-guru yang hadir telah dijemput menikmati juadah sejurus majlis ini menutup tirainya pada kira-kira pukul 12:30 tengah hari. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid sekolah ini untuk lebih cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum pada masa yang akan datang disamping memotivasikan mereka untuk khatam Al- Quran sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.





Laporan disediakan oleh, 

(SAIDAH NAFISAH BINTI SADINI)

Setiausaha Hari Apresiasi,

Sekolah Kebangsaan FELDA Redong,Segamat,Johor Darul Takzim.

1 comment:

 photo comment6copycopy.png